Kahf Ahlil Kahf terletak
kira-kira 7km dari pusat bandar Amman, Jordan. Kawasan ini suatu ketika dahulu
dikenali dengan Ar-Raqim kerana terdapat kesan tapak arkeologi yang bernama
Khirbet Ar-Raqim di kawasan tersebut. Perkataan Ar-Raqim juga disebut di dalam
Al-Quran dan Ahli Tafsir menafsirkan Ar-Raqim sebagai nama anjing dan ada yang
menyatakan ia sebagai batu bersurat.
Kahf Ahlil Kahf merupakan
lokasi sejarah yang membuktikan kebenaran kisah di dalam Al-Quran iaitu di
dalam Surah Kahfi mulai ayat 9 hingga 26. Ayat di dalam Surah tersebut
menceritakan bagaimana 7 orang pemuda yang beriman kepada Allah melarikan diri
ke sebuah gua dan Allah menidurkan mereka selama 309 tahun Qamariah (300 tahun
Shamsiah) sehingga mereka tidak dapat dibangunkan oleh suara apa sekalipun.
Firman Allah; “Adakah
engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah ‘ashabul kahfi’ (penghuni gua)
dan ‘ar-raqiim’ (anjing mereka) termasuk antara tanda-tanda-tanda kekuasaan
Kami yang menakjubkan? (Ingatlah) tatkala pemuda-pemuda itu mencari tempat berlindung
ke dalam gua lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami berikanlah rahmat kepada
kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan
kami (ini)”. (Al-Kahfi: 9)
Ashabul kahfi
(penghuni-penguni gua) yang dimaksudkan dalam ayat di atas, menurut para
ulama’- terdiri dari tujuh orang pemuda yaitu;
- Maksalmina
- Tamlikha
- Martunus
- Bainunus atau Nainunus
- Sarbunus
- Dzunuanus
- Kasyfitatanunus
“Sesungguhnya mereka itu
adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada
mereka petunjuk”. (Al-Kahfi: 13)
Menurut ahli sejarah,
kisah ini berlaku pada zaman sebelum kedatangan Islam di satu negeri bernama
Afsus yang terletak di Turki (ada pendapat menyatakan di Jordan, dan ada juga
mengatakan di Syria). Asalnya penduduk negeri itu beriman kepada Allah dan
beribadat mengesakanNya.
Namun keadaan berubah
selepas kedatangan seorang raja bernama Diqyanus. Raja ini menganut fahaman
kufur/berhala dan dia memaksa rakyat di bawah pemerintahannya supaya murtad
dari agama Allah yang dibawa Nabi Isa a.s. dan bertukar kepada agama
kufur/berhala yang dianutinya. Rakyat yang takut dengan ancaman dan seksaan
raja itu terpaksa akur dengan arahan yang zalim itu.
Namun tujuh pemuda beriman
tadi tidak mahu tunduk dengan tekanan raja kafir itu. Mereka tetap teguh mempertahankan
aqidah mereka walaupun menyedari nyawa dan diri mereka mungkin terancam dengan
berbuat demikian. Akhirnya mereka dipanggil mengadap raja itu.
Di hadapan raja yang zalim
itu, mereka dengan penuh berani dan bersemangat berhujjah mempertahankan iman
dan prinsip aqidah Ilahi yang mereka yakini. Allah berfirman menceritakan
peristiwa mereka berhujjah;
“Dan Kami telah meneguhkan
hati mereka di waktu mereka berdiri (di hadapan raja) lalu mereka berkata
(membentangkan hujjah kepada raja): ”Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi;
kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau
demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran. Kaum kami
ini telah menjadikan selain Dia sebagai tuhan-tuhan (untuk di sembah). Mengapa
mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka?)
Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan
terhadap Allah?”. (Al-Kahfi: 14-15)
Walaupun tidak mampu
menjawab hujjah-hujjah yang mantap dari pemuda-pemuda beriman ini, raja yang
kufur dan zalim itu tetap berkeras mahu mereka murtad dari agama mereka. Ia
memberikan tempoh beberapa hari kepada mereka. Jika selepas tempoh itu
pemuda-pemuda ini tetap berkeras, maka mereka akan dimurtadkan secara paksa
atau akan dibunuh. Kerana sayangkan aqidah dan agama mereka, pemuda-pemuda ini
bermesyuarat sesama mereka untuk mencari keputusan yang muafakat. Apakah
tindakan yang sepatutnya diambil untuk mempertahankan diri dan juga agama
mereka? Akhirnya mereka memutuskan untuk lari bersembunyi dan berlindung di
dalam gua di kawasan pedalaman/kampung.
Firman Allah; “Dan oleh
kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah
selain Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu
melimpahkan dari rahmat-Nya kepada kamu dan menyediakan kemudahan-kemudahan
untuk menjayakan urusan kamu dengan memberi bantuan yang berguna”. (Al-Kahfi:
16)
Mereka lari ke pedalaman
di kawasan pergunungan bernama Nikhayus. Di situ terdapat sebuah gua dan di
situlah mereka bersembunyi dan berlindung. Kebetulan semasa perjalanan mereka
ke situ mereka telah diekori oleh seekor anjing bernama ar-raqiim. Maka anjing
itu turut bersama-sama dengan mereka berlindung dan menetap di gua itu. Di
dalam gua itu mereka diberi ketenangan dan ketenteraman oleh Allah. Allah telah
menidurkan mereka dengan nyenyak dalam gua tersebut.
Firman Allah menceritakan
tentang mereka di dalam gua;
“Lalu Kami tidurkan mereka
dengan nyenyaknya di dalam gua itu bertahun-tahun lamanya”. (Al-Kahfi: 11).
Allah ingin menzahirkan
bukti-bukti kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya melalui peristiwa ini. Maka
Allah telah mentakdirkan pemuda-pemuda ini tidur dalam jangka masa yang amat
lama iaitu selama 300 tahun (mengikut perkiraan tahun Masihi) atau 309 tahun
(mengikut tahun Hijrah).
“Dan mereka telah tinggal
tidur dalam gua mereka selama tiga ratus tahun (dengan kiraan ahli Kitab), dan
hendaklah kamu tambah sembilan tahun lagi (dengan kiraan kamu) (yakni menjadi
309 tahun)”. (Al-Kahfi: 25)
Walaupun mereka tidur amat
lama dan tanpa makan dan minum, tetapi dengan kuasa Allah, badan dan jasad
mereka tidak hancur dan musnah. Bahkan Allah menyatakan bahawa; jika kita lihat
keadaan mereka di dalam gua itu nescaya kita tidak akan percaya bahawa mereka
sedang tidur.
“Dan engkau sangka mereka
sedar padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke
sebelah kanan dan ke sebelah kiri (supaya badan mereka tidak dimakan tanah),
sedang anjing mereka mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Dan jika
kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan
melarikan (diri) dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi dengan ketakutan
terhadap mereka”. (Al-Kahfi: 18)
Setelah sampai tempoh yang
ditetapkan Allah (iaitu 300 tahun atau 309 tahun), mereka dibangunkan. Ketika
mereka bangun mereka sendiri tidak menyedari bahawa mereka tidur dalam jangka
masa yang amat lama. Mereka menyangka mereka hanya tidur dalam masa sehari atau
separuh hari sahaja.“Berkatalah salah seorang di antara mereka: “Sudah berapa
lamakah kamu berada (di sini?)”. Mereka menjawab: “Kita berada (di sini) sehari
atau setengah hari….”. (Al-Kahfi: 19)
Sebaik bangun dari tidur
mereka, mereka terasa lapar. Maka sebahagian dari mereka mencadangkan agar
dihantar seorang wakil untuk ke Bandar bagi mencari sesuatu untuk di makanan.
Akhirnya mereka memilih Tamlikha untuk ke kota Afsus. Kebetulan semasa mereka
melarikan diri dulu mereka membawa bersama bekalan wang perak.
Firman Allah menceritakan
cadangan sebahagian dari mereka itu;
“Maka suruhlah salah
seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa uang perak kamu ini, dan
hendaklah dia lihat manakah makanan yang paling baik (yakni yang bersih dan
halal), maka hendaklah dia membawa makanan itu untuk kamu, dan hendaklah dia
berlaku lemah lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan hal kamu kepada
seseorangpun. Sesungguhnya jika mereka dapat mengetahui tempatmu, niscaya
mereka akan melempar kamu dengan batu, atau memaksamu kembali kepada agama
mereka, dan jika demikian niscaya kamu tidak akan beruntung selama-lamanya”.
(Al-Kahfi: 19-20)
Lihatlah betapa bersihnya
hati dan akhlak mereka. Walaupun dalam keadaan yang gawat dan susah serta
kelaparan, tetapi mereka masih berpesan kepada sahabat mereka yang ditugaskan
ke kota mencari makanan itu supaya mencari dan memilih makanan yang bersih dan
halal. Ini menandakan bahawa mereka adalah pemuda-pemuda yang bertakwa kepada
Allah. Di dalam al-Quran, Allah memerintahkan kita supaya bertakwa kepadaNya
sedaya yang kita mampu, dalam keadaan mana sekalipun, sama ada senang atau
susah.
Allah SWT Berfirman; “Maka
bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta ta`atlah;
dan nafkahkanlah nafkah yang baik untuk dirimu”. (At-Taghabun: 16)
Walaupun Allah
menceritakan dalam ayat tadi bahawa pemuda-pemuda amat berhati-hati dan
berjaga-jaga agar jangan diketahui orang lain–kerana mereka menyangka raja yang
memerintah negeri masih raja yang dulu dan kafir kepada Allah, namun Allah
telah mentakdirkan supaya berita tentang mereka diketahui oleh hamba-hambaNya
yang lain bagi menunjukan kekuasaan dan kehebatanNya.
Kebetulan semasa
pemuda-pemuda ashabul kahfi ini dibangkitkan Allah setelah tidur 300 tahun
lamanya, suasana negeri telah banyak berubah. Raja dan pemerintah negeri
merupakan orang yang beriman kepada Allah. Begitu juga dengan kebanyakan
rakyatnya.Namun masih terdapat segelintir rakyat dalam negeri itu yang masih ragu-ragu
tentang kebenaran kiamat; mereka masih ragu-ragu; bagaimana Allah boleh
menghidupkan orang yang telah mati? Apatah lagi yang telah beribu bahkan
berjuta tahun lamanya dimakan tanah. Maka bertepatanlah masanya Allah
membangkitkan ashabul kahfi pada zaman tersebut dan menzahirkan kekuasaanNya
kepada hamba-hambaNya yang masih ragu-ragu lagi.
“Dan demikianlah Kami
dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya mereka mengetahui bahwa janji
Allah menghidupkan orang mati adalah benar, dan bahwa kedatangan hari kiamat
tidak ada keraguan padanya”. (Al-Kahfi: 21)
Allah mendedahkan perihal
pemuda-pemuda ashabul kahfi itu semasa wakil mereka itu datang ke kota hendak
membeli makanan. Ia merasa hairan melihat keadaan kota dan penduduknya berubah
sama sekali. Penduduk kota pula merasa hairan melihat keadaan wakil itu dan
mereka semakin syak apabila mereka melihat wang perak yang dibawanya ialah wang
zaman dahulu yang sudah tidak laku lagi. Ia dituduh menjumpai harta karun lalu
dibawa mengadap raja yang beriman dan mengambil berat hal agama. Setelah
mendengar kisahnya, raja dan orang-orangnya berangkat ke gua ashabul kahfi
bersama wakil itu, lalu berjumpa dengan pemuda-pemuda itu sekeliannya dan
mendengar kisah mereka.
Sejurus kemudian
pemuda-pemuda itu pun dimatikan Allah sesudah memberi ucapan selamat tinggal
kepada raja yang beriman itu dan orang-orangnya. Raja mencadangkan supaya
sebuah masjid didirikan di sisi gua itu. Sementara itu ada yang mencadangkan
supaya mendirikan sebuah bangunan atau tugu sebagai kenangan.
Hal ini diceritakan Allah
dengan firmanNya;
“Setelah itu maka
(sebahagian dari mereka) berkata: “Dirikanlah sebuah bangunan di sisi (gua)
mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka”. Orang-orang yang
berkuasa atas urusan mereka (yakni pihak raja) pula berkata: “Sesungguhnya kami
hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka”. (Al-Kahfi: 21)